PERKESO Negeri Sabah pada 15 Februari 2023 (Hari Rabu) telah mengadakan Kunjungan Muhibbah kepada Pengarah Urusan Yayasan Usaha Maju (YUM) bertempat di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat YUM. Seramai lapan orang pegawai diketuai oleh Timbalan Pengarah, Puan Salwati binti Abdul Karim telah hadir bagi mewakili pihak PERKESO. Bersama-sama dengan Pengarah Urusan YUM menerima rombongan PERKESO adalah beberapa orang Pegawai Kanan YUM.

Semasa kunjungan ini, pihak PERKESO telah memberikan taklimat berkaitan perkhidmatan-perkhidmatan PERKESO yang terbaharu termasuk memperkenalkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 khusus kepada mereka yang menjalankan perniagaan sendiri dan bekerja sendiri; dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah yang memberi perlindungan khusus kepada suri rumah tetapi terhad kepada mereka yang berumur 55 tahun.

Pihak PERKESO seterusnya merakamkan hasrat untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak pengurusan YUM agar dapat memperkenalkan kedua-dua skim keselamatan tersebut kepada ahli-ahli YUM bagi memberi peluang ahli-ahli YUM menikmati perlindungan dan manfaat skim tersebut yang diperkenalkan oleh pihak Kerajaan Malaysia sendiri. Sebagai maklum balas terhadap hasrat tersebut, Pengarah Urusan YUM, En. Roseli bin Sindong menyatakan akan membawa perkara berkaitan ke Pihak Pengurusan YUM. Pada akhir kunjungan tersebut, kedua-dua pihak saling merakamkan ucapan terima kasih dan menganggap kunjungan tersebut dapat mengukuhkan lagi hubungan jabatan antara YUM dan PERKESO.

Pengarah Urusan bersama para wakil daripada PERKESO Negeri Sabah
Pegawai-pegawai Kanan YUM yang turut serta dalam menerima kunjungan rombongan PERKESO
Penyampaian cenderahati sempena kunjungan rombongan PERKESO