Sejarah Ringkas
Yayasan Usaha Maju atau ringkasnya YUM dimulakan sebagai sebuah projek perintis yang dinamakan Projek Usahamaju (PU) di daerah Kota Marudu pada tahun 1988. Projek perintis ini dilaksanakan secara bersama oleh Institut Kajian Pembangunan Sabah (Institute for Development Studies Sabah) atau IDS dan Korporasi Pembanguan Desa (KPD). IDS berperanan dalam aspek penyelidikan manakala KPD bertanggungjawab dalam hal pentadbiran, pengurusan dan penyediaan logistik yang berkaitan.
Inisiatif perlaksanaan PU berpunca daripada kesimpulan-kesimpulan kajian kemiskinan utama (Kajian Kemiskinan IDS, fasa I, 1987) yang dilaksanakan oleh IDS. Kajian ini telah mendorong kepada satu lawatan sambil belajar ke Bangladesh bagi mempelajari dan memahami konsep dan sistem operasi Grameen Bank (GB). Lawatan tersebut diketuai oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada ketika itu bersama pegawai-pegawai dari IDS dan Perbadanan Pinjaman Sabah (Sabah Credit Corporation).
Lawatan ini kemudiannya telah menghasilkan satu rekomendasi bahawa sebuah program kajian bertindak secara bersama di antara IDS dan KPD berdasarkan model Grameen Bank, dimulakan di Kota Marudu. Kota Marudu dipilih sebagai lokasi projek perintis PU kerana kawasan ini mencatatkan insiden tertinggi isirumah yang berpendapatan di bawah pendapatan garis kemiskinan.
Projek perintis ini telah diberi kelulusan oleh Kabinet Negeri pada bulan Julai 1988. En. Ariffin Gadait telah dilantik sebagai Pengurus Projek dan beliau dibantu oleh dua orang Pegawai Projek iaitu En. Freddy Rantau dan En. Abdul Hamid Sani dan sejumlah kecil kakitangan sokongan. Satu Jawatankuasa Pemandu telah diwujudkan untuk mengawasi perlaksanaan dan operasi harian PU.
Pada bulan pertama pelaksanaan PU, sebanyak enam buah kampung telah dipilih bagi menubuhkan 11 buah Pusat iaitu Kampung Korongkom, Kampar, Sumbilingon, Sungoi, Soronsob dan Bukit Lalang. Dua orang penerima pertama pinjaman PU ialah En. Ening Tadoh dan Jatil Mulas dari Kampung Korongkom masing-masing menerima pinjaman sebanyak RM1,000.00 seorang pada 26 Ogos 1988. Ening mendapatkan pinjaman bagi tujuan membeli peralatan nelayan manakala Jatil untuk membeli peralatan ladang. Di bawah projek perintis PU seramai 100 orang peminjam telah disasarkan.
Didorong oleh pencapaian PU yang sangat menggalakkan dari segi impak positif ke atas status sosio-ekonomi golongan miskin dan keupayaan mereka membuat pembayaran pinjaman dengan tepat, Kerajaan Negeri akhirnya telah meluluskan cadangan pengembangan operasi PU ke beberapa buah daerah negeri Sabah bagi membolehkan perkhidmatan kredit mikro PU dapat dimanafaatkan oleh lebih ramai golongan berpendapatan rendah di luar bandar negeri Sabah.
Namun pada peringkat awal pengembangan lagi pihak pengurusan PU telah menyedari dan kemudiannya menetapkan dasar bahawa keahlian PU hanya sesuai dan dikhususkan kepada golongan wanita sahaja. Ini kerana konsep dan disiplin berkumpulan yang menjadi asas pinjaman PU tidak boleh diikuti sepenuhnya oleh golongan lelaki. Sehingga November 1991, PU telah beroperasi di 31 buah Cawangan di seluruh Negeri Sabah.
Strategi pengembangan operasi PU ini turut disusuli dengan langkah menghantar Pengurus- Pengurus Cawangan PU ke Grameen Bank, Bangladesh bagi menjalani latihan khusus selama dua bulan. PU juga turut mendapatkan khidmat pegawai kanan Grameen Bank selama setahun bagi membantu pihak Pengurusan PU menerapkan kefahaman kepada setiap pegawai terhadap konsep, falsafah dan sistem operasi Grameen Bank yang berbeza dengan sistem operasi bank konvensional.
Pada 26 Januari 1995 Ketua Menteri Datuk Salleh Tun Said telah mengumumkan rancangan pemerbadanan PU menjadi sebuah badan amanah yang dinamakan Yayasan Usaha Maju. Tujuan pemerbadanan ini adalah untuk membolehkan YUM memperolehi dan mengakses pelbagai sumber dana samada daripada pihak kerajaan,swasta atau institusi penderma yang lain. Pemerbadanan ini juga adalah untuk membolehkan YUM wujud sebagai sebuah entiti rasmi dari segi perundangan yang membolehkannya berurusan secara rasmi dan menjalin hubungan dan kerjasama secara langsung dengan mana-mana pihak.
Pada 30 Jun 1995, Kerajaan Negeri telah meluluskan pemerbadanan YUM di bawah Trustee Ordinance (Incorporation) 1951 Cap. 148 (Sabah) dengan nama “The Registered Trustees of Yayasan Usaha Maju”. Ketua Menteri Sabah Datuk Salleh Said Keruak mengambil tanggungjawab sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YUM yang pertama. Anggota Lembaga yang lain terdiri daripada Datuk Lajim Hj. Ukin (Menteri Pertanian dan Perikanan), Datuk Hj. Hassan Ibrahim (Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan), Datuk Hj. Sukarti Wakiman (Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Perikanan) dan Awang Othman Hj. Pg. Gamok (Pengurus Besar KPD). Manakala En. Juif Adzim dilantik sebagai Pengarah Urusan YUM yang pertama. Kementerian Pertanian Dan Perikanan pula terus berperanan sebagai kementerian yang bertanggungjawab mengawal-selia setiap urusan dan aktiviti rasmi YUM sehingga penghujung tahun 2005.
Pada tahun 2006 YUM telah diletakkan di bawah pengawasan Kementerian Kewangan Negeri Sabah ekoran daripada langkah rasionalisasi pihak Kerajaan Negeri bagi memperkemaskan kawal-selia dan meningkatkan prestasi agensi-agensi kerajaan negeri. Peralihan YUM ke Kementerian Kewangan membolehkan sumber dan prestasi kewangan YUM selaku agensi perkhidmatan kewangan mikro kerajaan negeri dipantau dengan lebih dekat bagi memastikan YUM akan terus memainkan peranan yang lebih besar dalam menyediakan kredit mikro kepada kumpulan sasar di Negeri ini.
Kini, setelah lebih 25 tahun melaksanakan fungsinya YUM muncul sebagai sebuah agensi dan instrumen penting kerajaan dalam kerangka dan program pembangunan sosio-ekonomi Kerajaan Negeri khususnya dalam aspek mengurangkan kadar kemiskinan selari dengan dasar dan HALATUJU Kerajaan Negeri Sabah. Dan, atas hakikat bahawa kesemua ahli atau pelanggan YUM adalah daripada golongan wanita yang turut mempunyai keazaman tinggi untuk memperbaiki taraf hidup keluarga, maka YUM komited untuk menjadi institusi yang disegani dengan menetapkan Visi untuk Menjadi Institusi Kredit Mikro Prioriti ke arah memperkasa peranan wanita melalui aktiviti keusahawanan.