PERUTUSAN PENGARAH URUSAN YAYASAN USAHA MAJU SEMPENA TAHUN BAHARU 2023
Terima kasih diucapkan kepada pengacara majlis.
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الانبياء والمرسلين وعلى ءاله وصحبه اجمعين
رب اشرح لي صدری ويسرلی امری واحلل عقدة من لسانی يفقھوا قولی
Yang Berbahagia En. Andrew Richard, Timbalan Pengarah Urusan (Pengurusan),
Yang Berbahagia En. Hassan Hj Ahmad, Timbalan Pengarah Urusan (Operasi),
Yang Berusaha En. Airon Peter Anthony, Penolong Pengarah Urusan (Pentadbiran dan Sumber Manusia), selaku Ketua Urusetia Majlis Perutusan Pengarah Urusan YUM Sempena Tahun Baharu 2023, pada hari ini,
Yang Berbahagia En. Sibil Uli, Penolong Pengarah Urusan (Pinjaman),
Yang Berbahagia En. Constantine Micheal, penolong Pengarah Urusan (Perancangan dan Pembangunan),
Ketua-ketua Unit, Pengurus-pengurus Kawasan, Pengurus-pengurus Cawangan yang berkesempatan hadir serta semua kakitangan YUM yang dihormati sekalian.
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
dan Salam sejahtera.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana menganugerahkan kita dengan usia yang membolehkan kita melangkah ke tahun baharu, Tahun 2023. Saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2023 kepada semua kakitangan YUM tidak kira di mana juga berada semoga tahun 2023 akan membawa kemajuan yang lebih baik kepada YUM dan semua kakitangannya.
Tuan-tuan / Puan-puan kakitangan YUM yang dihormati sekalian,
Peristiwa dan pencapaian penting yang berlaku sepanjang tahun 2022 diharap akan menguatkan YUM dan menjadi panduan yang berguna untuk kita menempuh tahun 2023. Pada tahun 2022 YUM sudah beroperasi dengan keupayaan yang penuh selepas menghadapi tempoh yang tidak menentu ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia amnya. Kita berjaya mengeluarkan pinjaman yang tinggi yang meningkat lebih dua kali ganda dari tahun sebelumnya. Selain itu kita juga dapat mengawal perbelanjaan dengan melaksanakan perbelanjaan yang berhemah terutama selepas dua tahun mencatatkan pendapatan yang rendah. Pada tahun 2022 juga kita melihat peralihan kepimpinan dengan pelantikan saya sebagai Pengarah Urusan YUM yang baharu pada bulan September 2022. Perubahan kepimpinan ini juga menyaksikan beberapa perubahan dalam struktur organisasi YUM dengan mewujudkan dan menguatkan fungsi-fungsi yang penting menerusi penggabungan dan pemisahan Seksyen dan Unit, menaiktaraf Unit menjadi Seksyen, penempatan kakitangan mengikut kemahiran, pengambilan kakitangan baharu dan menambah bilangan Kawasan bagi meningkatkan pemantauan dan pengawasan kepada Cawangan-cawangan. Pelaksanaan penstrukturan baharu ini ada yang telah dilaksanakan pada tahun 2022 dan yang akan dilaksanakan pada tahun 2023.
Tuan-tuan / Puan-puan kakitangan YUM yang dihormati sekalian,
Pada tahun 2023 kita meletakkan harapan yang lebih tinggi untuk melihat YUM berada di tahap yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya khususnya dari aspek peningkatan pendapatan, penyertaan kumpulan sasar dan impak program kepada kumpulan sasar, pengawalan perbelanjaan dan mengurus kewangan dengan lebih cekap.
YUM perlu menjana pendapatan yang lebih untuk menampung kos emolumen dan operasi yang dijangka meningkat pada tahun 2023. Sumber pendapatan atau kewangan utama YUM adalah daripada peuntukan kerajaan dan pengenaan Caj Pengurusan ke atas pinjaman yang dikeluarkan selain pendapatan-pendapatan lain. Alhamdulillah pada tahun 2023 ini pihak kerajaan telah menambah bantuan kewangan kepada YUM di bawah Anggaran Perbekalan berbanding tahun sebelumnya. Penambahan ini sedikit sebanyak dapat menyeimbangi kenaikan perbelanjaan khususnya perbelanjaan emolumen.
Selain peruntukan daripada perbekalan kerajaan, YUM perlu meningkatkan penjanaan pendapatan daripada Caj Pengurusan dan sumber-sumber lain. Alhamdulillah pada tahun 2022 penjanaan Caj Pengurusan adalah yang tertinggi sejak tahun 2020 namun masih rendah berbanding keperluan sebenar. Justeru pada tahun 2023 kita telah meletakkan sasaran pengeluaran pinjaman yang lebih tinggi untuk menjana pendapatan lebih tinggi berbanding tahun 2022.
Namun begitu penjanaan Caj Pengurusan yang tinggi tidak akan bermakna sekiranya kualiti pinjaman dan bayaran balik pinjaman yang rendah sehingga mengakibatkan tunggakan yang tinggi yang menghadkan keupayaan memusing semula pinjaman dan kehilangan sumber kewangan sedia ada. Oleh itu penyerahan pinjaman berkualiti adalah wajib dilaksanakan oleh semua kakitangan khususnya di Cawangan dan Kawasan bukan hanya sekadar mengejar sasaran atau target dalam jangka masa pendek untuk tempoh setahun dua. Penyerahan berkualiti ini merangkumi kumpulan sasar yang tepat, jumlah pinjaman yang wajar dan menepati kelayakan, komitmen dan kerjasama peminjam dalam menjayakan program pembasmian kemiskinan, tanggungjawab dan peranan dalam Pusat, keupayaan membayar balik pada masa ditetapkan dan tidak bertunggakan.
Usaha membentuk pinjaman berkualiti ini datangnya dari tiga entiti iaitu kakitangan YUM yang merekrut, Pusat yang menapis dan peminjam atau Ahli yang meminjam. Ketiga-tiga pihak harus melaksanakan peranan masing-masing dengan lebih berkesan. Sebarang kelonggaran atau kecenderungan yang menyalahi menyebabkan kerosakan yang lebih besar ke atas organisasi yang diasaskan kepada kepercayaan yakni saling percaya mempercayai. Kesemua ini perlu dipandu oleh polisi atau dasar dan prosedur yang baik yang mengambilkira kesemua faktor termasuk kelompangan dalam peraturan sebelumnya.
Tuan-tuan / Puan-puan kakitangan YUM yang dihormati sekalian,
Perancangan mencapai sasaran perlu ada untuk memastikan pertumbuhan berterusan dan mampu bertahan untuk tempoh yang panjang. Justeru elemen-elemen penting pengoperasian program yang memberi impak yang besar kepada kumpulan sasar perlu ditekankan. Ini merangkumi keupayaan menjana dan meningkatkan pendapatan, keperluan asas yang dapat dipenuhi seperti kemudahan tempat tinggal yang baik dan pendidikan anak-anak yang terjamin. Ini hanya akan tercapai jika peminjam mempunyai kegiatan perniagaan yang berpotensi. Kejayaan peminjam mencapai matlamat tersebut akan menjamin penerusan dan pengulangan pinjaman dan YUM berpeluang menikmati pertumbuhan yang positif dari setahun ke setahun.
Data menunjukkan sebahagian besar penyerahan pinjaman yang diserahkan pada sesuatu tahun adalah sebahagian besar disumbangkan oleh peminjam yang meneruskan pinjaman berikutnya. Sudah tentu keberangkalian mengulang pinjaman lebih tinggi bagi peminjam yang mendapat impak yang positif daripada program pinjaman YUM berbanding mereka yang gagal. Justeru perkhidmatan kita ke atas pelanggan sedia ada perlu ditingkatkan selain membina imej YUM yang lebih baik yang akan dapat menarik lebih ramai kumpulan sasar menyertai YUM.
Tuan-tuan / Puan-puan kakitangan YUM yang dihormati sekalian,
Peningkatan pendapatan ini perlu diseiringkan dengan pengawalan perbelanjaan. Pengawalan perbelanjaan tidak bermaksud tidak berbelanja langsung tetapi berbelanja pada nilai yang lebih menguntungkan YUM untuk mencapai tujuan dan objektif perbelanjaan yang sama. Justeru aspek kecekapan mengurus belanjawan dan perolehan amat penting. Sebagai contoh penganjuran majlis-majlis penting YUM termasuk pelaksanaan kursus tidak semestinya hanya berjaya jika dilakukan di hotel-hotel utama sebaliknya boleh diadakan di tempat-tempat yang sesuai dengan kos yang rendah. Begitu juga mengawal penggunan elektrik dengan mematikan suis lampu atau penghawa dingin ketika di luar tempoh masa bekerja atau tidak berada di pejabat. Penggunaan telefon yang terancang dengan mengawal masa perbualan juga merupakan salah satu kaedah mengawal peningkatan kos.
Manakala melaksanakan amalan-amalan baik dalam memastikan jangka hayat sesuatu aset lebih lama seperti gaya pemanduan dan penjagaan kenderaan yang baik perlu dipraktikkan. Begitu juga perjalanan lawatan yang terancang yang mengambilkira mod perjalanan, kepelbagaian tujuan lawatan dan laluan perjalanan juga sedikit sebanyak dapat mengawal kos tanpa berkompromi dengan objektif dan hasil sesuatu pekerjaan. Namun begitu perbelanjaan-perbelanjaan penting yang perlu dalam melancarkan operasi dan bersifat jangka masa panjang akan diteruskan tertakluk kepada kedudukan kewangan seperti pembelian kelengkapan IT seperti komputer dan perisian, pembelian kenderaan, penghawa dingin dan ubah suai pejabat tetapi dengan nilai yang terkawal.
Tuan-tuan / Puan-puan kakitangan YUM yang dihormati sekalian,
Pada tahun 2023 ini juga kita dijangka menghadapi situasi yang lebih mencabar sama ada berpunca daripada faktor dalaman atau luaran. Pada tahun 2023 ini kita akan melaksanakan beberapa perolehan yang tidak dapat dilaksanakan pada tahun lepas seperti melakukan kerja-kerja pengubahsuaian pejabat, pembelian kenderaan, pembelian komputer dan printer. Perbelanjaan ini dijangka meningkatkan kos perbelanjaan khas tahun 2023.
Selain itu beberapa orang kakitangan YUM termasuk pegawai kanan akan bersara yang menyebabkan kekurangan tenaga berpengalaman yang memerlukan penggantian sebagai pelapis di masa akan datang. Penggantian ini memerlukan pengambilan kakitangan baharu dan kos latihan dijangka akan meningkat. Manakala kakitangan yang masih meneruskan perkhidmatan pada tahun 2023 sebahagian besarnya telah mencapai usia 50-an atau di ambang bersara yang berkemungkinan mempunyai mobiliti dan produktiviti yang terhad.
Manakala dari sudut ekonomi global pula, kita berkemungkinan akan berhadapan dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang memberi kesan ke atas kos operasi bukan sahaja kepada YUM tetapi juga kepada peminjam-peminjam yang berhadapan dengan kos perniagaan yang tinggi. Kenaikan kadar faedah pinjaman berkemungkinan boleh memberi kesan ke atas kenaikan harga sewa pejabat-pejabat YUM.
Manakala cabaran paling besar adalah jika sekiranya terdapat gangguan ke atas perniagaan Ahli atau pengurusan pinjaman yang kurang berkesan sehingga menyebabkan berlakunya tunggakan pinjaman yang tinggi di kalangan peminjam.
Tuan-tuan / Puan-puan kakitangan YUM yang dihormati sekalian,
Bagi merealisasi harapan dan mendepani cabaran tersebut kita perlu memiliki dan memberi tumpuan kepada perkara-perkara berikut iaitu pertamanya adalah kefahaman yang jelas terhadap hala tuju atau visi yang kita akan tuju dan goal yang ingin kita capai; Kedua, Kecekapan mengurus sumber-sumber terutamanya sumber manusia dan kewangan. Ketiga, tadbir urus yang baik seperti kerja yang terancang dan sistematik serta pengwujudan polisi-polisi dan prosedur sebagai salah satu bentuk kawalan. Keempat, penggunaan teknologi khususnya IT dalam pekerjaan. Kelima, kecekapan mengurus pelanggan. Keenam adalah penerapan dan pengukuhan nilai-nilai positif khususnya integriti, akauntabiliti, kerja berpasukan, reponsif, ketepatan, didikasi dan innovasi yang menjadi nilai teras sepunya YUM seperti digariskan dalam Pelan Strategik YUM 2021 – 2025.
Alhamdulillah pada tahun 2021 kita telah berjaya mengeluarkan Pelan Strategik Yayasan Usaha Maju 2021 – 2025. Dokumen ini telah menggariskan hala tuju yang jelas menerusi visi “Menjadi institusi Kewangan Mikro Yang Mapan dan Prioriti dalam meningkatkan tahap sosio ekonomi golongan berpendapatan rendah di Negeri Sabah” Saya telah meringkaskan visi ini dalam bentuk yang lebih mudah untuk difahami yang akan menjadi hala tuju atau goal saya dalam tempoh menerajui YUM seperti mana disampaikan dalam ucapan pertama saya kepada Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kanan YUM (SMC) pada bulan September 2022 yang lalu iaitu “meningkatkan keupayaan YUM untuk berdikari menerusi perkhidmatan organisasi yang cekap dengan menyeiringkannya dengan pencapaian matlamat mengurangkan kemiskinan di Sabah dan keperluan pihak Kerajaan melihat organisasi YUM sebagai organisasi yang berpotensi menyumbang dividen (suatu masa kelak)”
Dua perkataan ini iaitu mapan dan berdikari saling berkaitan yakni jika kita mampu berdikari kita akan dapat terus beroperasi dan dalam masa yang sama dapat mencapai matlamat meningkatkan tahap sosio ekonomi golongan berpendapatan rendah sekali gus mengurangkan kemiskinan di Sabah. Untuk berdikari pula kita harus menjana pendapatan sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan. Justeru YUM perlu meningkatkan keupayaan menjana Caj Pengurusan terutamanya dan melakukan perbelanjaan berhemah yang boleh dicapai apabila kita dapat mengurus dengan cekap sumber-sumber yang ada. Pada masa yang sama matlamat asal penubuhan YUM bertujuan membasmi kemiskinan akan tercapai yakni berlaku peningkatan pendapatan kumpulan sasar atau Ahli yang menyertai YUM. Peningkatan pendapatan YUM yang berterusan dan konsisten membolehkan YUM menyumbang balik kepada kerajaan dalam bentuk dividen (suatu masa kelak).
Dalam hal ini terdapat tiga pihak yang perlu kita tunaikan harapan mereka. Pihak yang pertama adalah YUM yakni YUM mengharapkan mempunyai kecukupan wang untuk menggerakkan program dan melaksanakan tanggungjawab (penggajian) kepada anggota kakitangan. Pihak yang kedua adalah peminjam atau kumpulan sasar yakni harapan mereka untuk menjana pendapatan dan meningkatkan taraf hidup seterusnya keluar dari kemiskinan. Pihak yang ketiga adalah Kerajaan yang mengharapkan YUM berupaya meningkatkan pendapatan agar lebih ramai rakyat terutamanya golongan miskin keluar dari kemiskinan dan dalam masa yang sama mengharapkan YUM berupaya memberi deviden kepada kerajaan suatu masa nanti.
Justeru setiap unit khususnya operasi perlu memahami visi ini dan sentiasa memberi perhatian kepada penjanaan pendapatan dan keupayaan mengeluarkan kumpulan sasar daripada kemiskinan. Visi dan goal ini perlu difahami dan diterjemahkan menerusi tindakan yang terancang. Semua unit-unit dalam organisasi YUM termasuk Cawangan perlu faham dan merancang dengan bijak dan mengemudi dengan baik unit atau Cawangan masing-masing agar visi mahupun goal yang ditetapkan dapat dicapai.
Tidak terhad di sini sahaja semua pihak hendaklah faham terhadap dasar-dasar organisasi atau pengurusan yang diambil ke arah mencapai visi tersebut agar semua tindakan seiring dan dapat dilaksanakan. Kegagalan memahami, merancang, mengemudi dan mengambil tindakan yang wajar serta memahami tindakan pengurusan akan menyebabkan visi mahupun goal ini hanya menjadi satu pernyataan sahaja malahan boleh menyumbang sebaliknya iaitu kegagalan unit atau Cawangan berperanan dan menyumbang kepada YUM. Justeru semua kita perlu memahaminya agar ianya dapat direalisasikan.
Tuan-tuan / Puan-puan kakitangan YUM yang dihormati sekalian,
Bagi merealisasi harapan dan mendepani cabaran tersebut juga pengurusan sumber-sumber secara berkesan atau efisien terutamanya sumber manusia dan kewangan perlu diberi perhatian sekali gus membolehkan YUM mencapai visi atau goal tersebut walaupun dengan sumber yang terhad. Pengurusan yang cekap penting untuk membolehkan sumber-sumber yang terhad ini masih mampu menghasilkan sesuatu yang bernilai kepada pencapaian visi organisasi. Justeru kita kena melakukan langkah-langkah yang sesuai mengikut keutamaan dan sumber yang ada.
Semasa mengambil alih pentadbiran sebagai Pengarah Urusan perkara kedua yang saya lakukan selepas menetapkan visi atau hala tuju dan goal adalah menyusun atau merasionalisasikan struktur organisasi dan perjawatan YUM (Ianya merupakan antara sepuluh perkara yang saya gariskan untuk diberi tumpuan dalam pentadbiran saya). Walaupun ianya bukanlah suatu yang ideal, kerana saya melakukannya berdasarkan sumber sedia ada, namun saya berkeyakinan jika diikuti dengan sokongan semua kakitangan ianya masih boleh memberi nilai yang baik kepada peningkatan perkhidmatan dan pengurusan YUM.
Saya memulakan penyusunan dengan menetapkan beberapa perkara sebagai asas antaranya; keperluan semasa, sumber manusia sedia ada, kelancaran operasi, kewangan dan persetujuan LPA. Terdapat keperluan ke atas permerkasaan unit-unit agar berperanan lebih berkesan menyampaikan perkhidmatan dengan melakukan beberapa tindakan penyusunan seperti pemisahan fungsi supaya ianya lebih mengkhusus dan membolehkan fungsi-fungsi baharu dimasukkan, menempatkan di Bahagian dan Seksyen yang sesuai dan melantik pegawai yang bersesuaian mengendalikannya. Pada masa yang sama juga Seksyen dan Unit yang fungsinya agak sederhana digabungkan atau digantikan dengan Seksyen atau Unit yang lebih utama. Manakala beberapa Unit pentadbiran di bahagian Operasi ditambah dengan intiti yang baharu agar operasinya lebih berkesan.
Penyusunan ini sebahagian besarnya menggunakan kakitangan sedia ada dan tidak melibatkan kenaikan pangkat yang ramai. Justeru asas kedua yang diambilkira adalah menggunakan sumber manusia sedia ada. Kakitangan sedia ada ditempatkan mengikut kemahiran dan keperluan unit-unit berkaitan. Begitu juga beberapa jawatan, sama ada wujud dengan penubuhan Seksyen atau Unit baharu atau menggantikan pegawai yang bersara atau mengisi kekosongan jawatan ekoran kenaikan pangkat seseorang pegawai akan diisi secara dalaman dengan sumber sedia ada. Namun begitu pengambilan daripada luar khususnya bidang-bidang penting dan kritikal serta tidak ada atau belum ada kakitangan sedia ada yang bersesuaian menjawatnya, akan dilakukan bagi melancarkan operasi YUM selain menyuntik tenaga dan kepakaran baharu.
Asas ketiga adalah kelancaran dan kawalan operasi. Ini dilakukan dengan menambah bilangan Kawasan daripada enam buah (sebenarnya yang beroperasi dan mempunyai Pengurus Wilayah hanya lima) kepada tujuh buah. Ini dilakukan untuk membolehkan kawalan dan penyeliaan yang lebih berkesan. Dengan penambahan bilangan kawasan operasi dan sekaligus perubahan status daripada Wilayah kepada Kawasan, bilangan Cawangan yang diselia dan dikawal oleh seseorang Pengurus Kawasan sebahagian besarnya berkurang. Ini membolehkan tumpuan diberikan menyelia dan memantau Cawangan dengan berkesan dan dalam masa yang sama jarak perjalanan di Kawasan dapat dipendekkan.
Asas keempat ialah keupayaan kewangan. Penyusunan struktur organisasi ini sangat menitik beratkan kepada keupayaan kewangan agar tidak menambah secara drastik kos emolumen. Justeru pendekatan yang dilakukan ialah menubuhkan Seksyen atau Unit baharu hanya selepas terdapat pengurangan bilangan sedia ada menerusi penggabungan, kecuali bagi penubuhan unit baharu yang perlu untuk dilakukan. Begitu juga penambahan Jawatan Pengurus Kawasan tanpa perubahan Gred atau mewujudkan gred yang berbeza bagi jawatan yang sama berdasarkan kapasiti operasi yang dikawal dan gred Pengurus Cawangan yang diselia.
Asas yang terakhir ialah persetujuan Lembaga Pemegang Amanah ke atas rancangan-rancangan besar yang ingin dilaksanakan apatah lagi jika melibatkan komitmen kewangan jangka panjang. Alhamdulillah dengan justifikasi dan pendekatan pelaksanaan yang diambil, pihak LPA tidak menghalang dasar-dasar baik yang dirancang untuk dilaksanakan. Asas ini akan digunakan dalam melaksanakan sesuatu dasar di YUM agar kita lebih jelas dan yakin dan mempunyai dokongan yang kuat termasuk kewangan jika diperlukan.
Bagi memastikan pengurusan sumber manusia yang berkesan saya juga telah mewujudkan Unit Sumber Manusia khusus mengurus hal ehwal berkaitan sumber manusia seawal pengambilan kakitangan sehinggalah ke peringkat persaraan. Manakala fungsi Pentadbiran dipisahkan dengan penambahan fungsi baharu melibatkan integriti dan kualiti menerusi penubuhan Unit Pentadbiran dan Korporat.
Memang tidak dapat dinafikan terdapat kemungkinan cabaran ke atas penyusunan yang dibuat seperti lojistik, kepakaran atau kemahiran kakitangan, perpindahan, pengalaman baharu di unit baharu yang ada merasakan berlaku pertambahan tanggungjawab atau sebaliknya dan beberapa lagi. Namun saya menyeru langkah ini dibuat adalah atas dasar kepentingan organisasi. Cabaran ini bukan sahaja dihadapi oleh mereka yang telibat tetapi juga oleh pihak pengurusan sekiranya kakitangan kurang berfungsi atau tidak menggunakan sepenuhnya keupayaan yang ada, penolakan tanggungjawab baharu dan produktiviti yang rendah. Jika ini yang berlaku, walau sebaik manapun idea pembangunan, walau secekap manapun seseorang pemimpin visi atau goal yang ditetapkan tidak akan dapat dicapai. Justeru tolak ansur, mengutamakan tugas, tidak berkira, boleh bekerjasama, bersemangat menyumbangkan idea, memberi maklumat dan nasihat yang tepat dan bekerja sebagai satu pasukan amat penting untuk dilaksanakan oleh semua pihak.
Tuan-tuan / Puan-puan kakitangan YUM yang dihormati sekalian,
Bagi merealisasi harapan dan mendepani cabaran selanjutnya kita perlu mengurus sumber kewangan secara efisien lebih-lebih lagi dalam keadaan sumber kewangan yang terhad. Pengurusan kewangan yang efisien mencakupi pengwujudan jentera, sistem dan infrastruktur mengurus serta kaedah atau pendekatan perbelanjaan yang sistematik. Justeru dalam melakukan rasionalisasi struktur organisasi dan perjawatan saya memberikan perhatian menguatkan jentera pengurusan kewangan dengan mewujudkan Seksyen Kewangan dan Akaun dengan memisahkannya daripada Seksyen Pentadbiran. Selain itu unit baharu iaitu Unit Kewangan juga ditubuhkan agar dapat memberi tumpuan kepada mengurus kewangan dengan baik, mendapatkan sumber dana menerusi anggaran perbekalan, mengurus dana agar memberi nilai yang tinggi, mengurus tabung kecemasan, memantau belanjawan dan bertindak sebagai menilai dari segi implikasi kewangan ke atas pelaksanaan sesuatu program atau inisiatif organisasi serta menyediakan laporan-laporan kewangan yang berkaitan. Bagi menguatkan Seksyen dan Unit ini, kita akan membawa masuk bakat luar yang mempunyai kelayakan yang bersesuaian.
Kita juga berharap agar sistem pengurusan kewangan dibangunkan bagi memudahkan pengrekodan dan pemantauan dengan cepat dan tepat. Selain itu tumpuan juga diberikan memperbaiki kaedah atau pendekatan perbelanjaan dengan memperkasakan Unit Perolehan selain mewujudkan dan menguatkuasakan polisi-polisi berkaitan pengurusan kewangan dan perbelanjaan. Masih banyak pendekatan yang boleh dilakukan bagi memastikan kewangan YUM diurus dengan baik.
Selain itu kaedah berbelanja mengikut keupayaan akan diberi perhatian. Ini akan dimulakan menerusi penyediaan bajet berdasarkan sumber kewangan yang diunjur. Kita juga merancang untuk mengeluarkan manual kewangan untuk membolehkan polisi dan prosedur didokumenkan bagi tujuan rujukan. Menerusinya semua pihak boleh merujuk dan meningkatkan kemahiran masing-masing selain meningkatkan pematuhan ke atas polisi dan prosedur kewangan dan kawalan kewangan menerusi pengauditan.
Perkara yang tidak kurang pentingnya juga dalam kita mengurus sumber kewangan dengan baik ialah memastikan setiap ringgit pinjaman yang dikeluarkan dibayar balik. Justeru kawalan ke atas Modal Pusingan Pinjaman (MPP) perlu ditingkatkan. Pengeluaran pinjaman tidak sewajarnya dibuat secara sembarangan sebaliknya hendaklah dipastikan bahawa ianya berupaya dipungut semula untuk dipusingkan. Kecekapan mengguna dan mengawal penggunaan MPP sangat perlu dibuat terutama oleh kakitangan lapangan.
Pengurusan (kerja terancang dan sistematik) merangkumi pengwujudan polisi, prosedur dan kawalan juga penting untuk kita laksanakan. Justeru kita menggalakkan perbincangan-perbincangan dalam unit yang kecil bagi membincang dan mencari penyelesaian dan keputusan terbaik secara kolektif.
Di era ledakan teknologi pada hari ini kita juga akan memanfaatkan Teknologi Maklumat (IT) sepenuhnya dalam pengendalian dan pengurusan kredit mikro YUM untuk memastikan wang kerajaan diurus dengan cekap dan selamat. Kita mahu aspek-aspek penting pelaksanaan fungsi dan tugas dikomputerisasikan antaranya Sistem Bajet, Sistem Perolehan, Sistem SKT, Sistem Pengurusan Harta dan lain-lain dapat dilaksanakan. Isu-isu yang menghambat kita selama ini terutamanya pembangunan SMKP2 harus diselesaikan segera dan objektif untuk membina keyakinan kerajaan dan juga pelanggan dan membantu pihak pengurusan membuat keputusan yang tepat berdasarkan maklumat yang jitu. Justeru kita memberi perhatian menguatkan Seksyen Sistem dan Teknologi Maklumat dengan membawa masuk bakat baharu dari luar untuk mengetuai Seksyen ini. Dalam masa yang sama kita berharap kakitangan sedia ada yang sedang membangunkan sistem yang ditetapkan masing-masing agar berusaha bersungguh-sungguh membangunkan sistem tersebut secara tepat dan berkesan dan sentiasa melaporkan tahap pencapaian pembangunan sistem dan memberi maklumat yang tepat untuk sesuatu keputusan dibuat oleh pihak Pengurusan. Pembangunan sistem atau Aplikasi secara berpasukan perlu diberi penekanan seandainya pendekatan secara individu kurang berkesan. Untuk itu semua pihak perlu bertolak ansur dan mengutamakan serta meletakkan kepentingan organisasi YUM melebihi kepentingan peribadi.
Perkara lain yang sangat penting untuk diterap dan diamalkan dan dibudayakan adalah nilai-nilai positif yang menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan tadbir urus yang baik seperti kualiti, integriti, kod pemakaian dan pembinaan hubungan yang harmoni dengan mengamalkan sikap saling hormat menghormati dan mempercayai.
Sehubungan itu beberapa inisiatif telah dan sedang diambil antaranya meletakkan fungsi baharu kualiti dan integriti di bawah Unit Pentadbiran dan Korporat. Kita telah memulakan beberapa program dan aktiviti khususnya di bawah integriti seperti mengadakan kempen kesedaran menerusi pelaksanaan kuiz integriti dan menubuhkan Jawatankuasa Pelan Strategik Antirasuah YUM. Kita berharap penerapan dan pembudayaan nilai-nilai ini akan dapat ditingkatkan termasuk etika berpakaian dan pengurusan masa pejabat.
Tuan-tuan / Puan-puan kakitangan YUM yang dihormati sekalian,
Kejayaan kita dalam menerajui dan membawa YUM mencapai visinya memudahkan kita meneruskan pelaksanaan inisiatif berbentuk penghargaan dan ganjaran sedia ada sesuai dengan sumbangan masing-masing. Kita juga berkeyakinan boleh mencadangkan inisiatif-inisiatif baharu yang lebih menarik pada masa akan datang sekiranya kita mencapai kedudukan kewangan yang baik. Sebarang pengenalan insiatif berbentuk penghargaan monetari harus disandarkan kepada kejayaan kita meraih pendapatan yang tinggi. Tidak wajar untuk kita melaksanakan sesuatu inisiatif di luar kemampuan melainkan jika kita benar-benar yakin bahawa lagkah-lagkah yang diambil pada masa ini berupaya untuk menjana pendapatan lebih dalam tempoh jangka pendek di hadapan.
Begitu jugalah segala perancangan dan usaha yang telah dan akan dilakukan ini bukanlah semata-mata untuk mendapat pengiktirafan, jauh sekali mengecilkan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh pengurusan terdahulu. Sebaliknya apa yang diusahakan ini adalah sesuatu yang mesti dan sepatutnya dilakukan oleh semua pihak dalam mentadbir sesebuah organisasi. Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dari semasa ke semasa memastikan kemajuan boleh dicapai oleh organsisasi berkenaan dengan melakukan langkah-langkah yang wajar. Langkah-langkah ini adalah berterusan dan dari satu generasi ke satu generasi. Kita tidak mahu semangat kita dilemahkan dengan melihat dan mengukur pencapaian YUM dengan apa yang ada selepas lebih 25 tahun ditubuhkan sehingga kita berkesimpulan untuk tidak akan mampu membawa sebarang perubahan hanya kerana masa yang akan diambil lebih pendek daripada tempoh tersebut. Kita harus melihat sesuatu kejayaan itu dalam satu garis yang panjang bukan sahaja semasa tempoh kita berkhidmat tetapi tempoh-tempoh yang akan dilalui oleh generasi akan datang. Kalaupun kejayaan hasil usaha keras kita tidak kita nikmati hasilnya, anggaplah apa yang kita lakukan ini sebagai perintis dan kemudahan generasi akan datang. Justeru kita tidak semestinya mengalah atau memperlahankan usaha hanya kerana mungkin kita sudah berada di ambang persaran. Ibaratnya kita tidak boleh untuk tidak menanam sebatang pokok durian (kampung) hanya kerana kita mungkin tidak dapat menuai atau menikmati hasil buahnya nanti kerana usia yang telah lanjut, tetapi fikirkanlah apa yang kita tanam itu boleh dinikmati oleh anak cucu seterusnya.
Tuan-tuan / Puan-puan kakitangan YUM yang dihormati sekalian,
Di permulaan tahun baharu 2023 marilah kita sama-sama membina YUM yang progresif, bekerja sebagai satu pasukan yang kuat, seirama dan melakukan usaha-usaha yang berkesan bagi mencapai visi dan goal yang ditetapkan. Sebarang kekecualian atau peminggiran akan menjadikan pasukan kerja tidak lengkap, kurang berkesan dan boleh mengganggu motivasi kerja rakan-rakan lain dalam pasukan. Begitu juga sebarang kelemahan, salah laku dan kegagalan berfungsi akan menyebabkan semua anggota terkesan. Manakala sebarang bentuk perbezaan kefahaman dan pandangan wajar dikesampingkan sebaliknya perpaduan perlu ditingkatkan. Marilah kita memanfaatkan kepelbagaian yang kita miliki untuk menterjemahkan pencapaian tahun 2023 yang lebih baik. Marilah kita memfokuskan perhatian kita kepada keberhasilan kerja yang berupaya mengukur di penghujungnya apa perkara positif yang telah berjaya kita lakukan dan menyumbang kepada kemajuan YUM. Kita tidak mahu nanti di penghujung tahun tidak ada perkara yang signifikan yang berjaya kita sumbangkan mengikut bidang tugas dan tanggungjawab masing-masing.
Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua kakitangan YUM dan menghargai segala pengorbanan yang telah dilakukan. Akhir kata sekali lagi saya mengucapkan selamat Tahun Baharu 2023 semoga harapan kita akan tercapai sepenuhnya. Sekian.