Jawatankuasa Ketua-ketua Pusat Yayasan Usaha Maju (JKeP YUM) dengan kerjasama kakitangan Cawangan Tuaran dan Jawatankuasa Induk Ibu Pejabat telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Keluarga Ahli Yayasan Usaha Maju Cawangan Tuaran pada 05 Julai 2025 bertempat di Dewan Seri Sulaman, Tuaran. Majlis ini telah dihadiri seramai lebih kurang 500 orang yang terdiri daripada ahli, keluarga ahli dan kakitangan Yayasan Usaha Maju.

Majlis ini telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji  Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah. Turut hadir bagi memeriahkan lagi majlis tersebut ialah YB Datuk Seri Panglima Jahid bin Jahim, Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah merangkap ADUN N.14 Tamparuli, YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Ahli Parlimen P.170 Tuaran, YB Datuk Jasnih Haji Daya, ADUN N.13, Pantai Dalit merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd, YBhg. Datuk Sofian Alfian bin Nair, Setiausaha Tetap, Kementerian Kewangan Negeri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Usaha Maju, En. Roseli bin Sindong, Pengarah Urusan Yayasan Usaha Maju, Ketua-ketua Jabatan/Agensi daerah dan pegawai-pegawai kanan Yayasan Usaha Maju.

Semasa ucapan perasmian majlis tersebut, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor menyentuh tentang peri pentingnya peranan yang dimainkan oleh YUM menerusi pelbagai program yang dilaksanakan adalah sangat penting kepada kerajaan dan sejajar dengan Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (2021-2025) memastikan pembangunan ekonomi negeri ke arah mencapai pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif kepada semua peringkat kumpulan pendapatan rakyat sabah berdasarkan prinsip yang menekankan kemakmuran bersama dan rakyat Sabah mempunyai jati diri yang tinggi ke arah menjadikan negeri Sabah makmur dan sejahtera.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh pencapaian YUM yang telah mengeluarkan sebanyak RM805.25 juta pinjaman melibatkan 152,021 unit pinjaman kepada 47,389 orang peminjam dengan 18,888 ahli masih mempunyai pinjaman.  Prestasi bayaran balik pinjaman juga sangat membanggakan dengan kadar bayaran balik pinjaman kumulatif melebihi 96%.  Ini menunjukkan bahawa peminjam YUM yang kesemuanya wanita merupakan pembayar pinjaman yang baik atau good paymaster.

Kerajaan akan terus komited untuk membantu YUM melaksanakan peranannya dengan baik dengan menyediakan peruntukan kewangan sewajarnya untuk membolehkan YUM beroperasi dan memberi perkhidmatan pinjaman kepada ahli dan peminjam YUM dengan sebaiknya.

Pada tahun 2025 Kerajaan Negeri Sabah telah memperuntukkan sebanyak RM11.6 juta kepada Yayasan Usaha Maju (YUM) bagi meneruskan pelaksanaan Program Kredit Mikro sebagai usaha memperkasa usahawan tempatan, khususnya dalam kalangan wanita berpendapatan rendah.

Majlis sebegini membuktikan bahawa YUM bukan sekadar institusi pinjaman mikro, tetapi agen pembangunan masyarakat dengan menyediakan platform yang berupaya merapatkan hubungan antara peminjam, ahli keluarga, kakitangan dan pihak pengurusan, serta memperkukuhkan jaringan kerjasama yang berupaya membantu usahawan kecil dan sederhana untuk terus maju dan berkembang.

Kerajaan Negeri Sabah sentiasa menyokong dan akan terus memperkasakan institusi seperti YUM agar peranannya kekal relevan dalam memacu pembangunan ekonomi masyarakat di negeri Sabah.

Dalam majlis tersebut, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor telah menyampaikan hadiah dan sijil bagi Anugerah Pusat Cemerlang, Ketua Pusat Cemerlang, Usahawan Cemerlang dan Pelajar Cemerlang SPM & STPM. Selain daripada itu, beberapa pengisian acara di sebelah pagi juga diadakan antaranya pertandingan karaoke, menghias kek, gubahan bunga, busana tercantik serta cabutan tiket bertuah.

Beberapa jabatan dan agensi telah dijemput sebagai pempamer seperti JHEWA, DIDR, SSM, AADK, Amanah Raya Berhad dan Jabatan Kesihatan. Sementara itu, beberapa usahawan YUM juga turut serta mempamer dan menjual produk hasil keluaran mereka.

Antara objektif majlis ini diadakan adalah memupuk semangat kerjasama serta mengeratkan lagi perhubungan sesama ahli, kakitangann dan pengurusan Yayasan Usaha Maju.

En. Roseli bin Sindong, Pengarah Urusan YUM sedang menyampaikan ucapan alu-aluan
YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah sedang menyampaikan ucapan perasmian sambil diiringi oleh Pengarah Urusan YUM
Gimik perasmian Majlis Sambutan Hari Keluarga Ahli YUM Cawangan Tuaran
Para tetamu dan dif-dif jemputan yang hadir
Tetamu yang hadir
Pegawai-pegawai Kanan YUM
Gambar Kenangan bersama YAB Ketua Menteri dan Tetamu Kehormat
YAB Ketua Menteri sedang menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima
Agensi yang dijemput sebagai pempamer
Salah seorang usahawan turut serta mempamer dan menjual produk hasil keluarannya